KEDAH terpaksa melupakan hasrat untuk mencabar juara enam kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT), untuk gelaran Liga Super 2020 apabila tewas 2-1 kepada Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan,malam sabtu.
Kedah bermula baik apabila membuka jaringan menerusi penyerang import dari Ivory Coast Tcheche Hermann Kipre, pada minit ke-15, namun skuad Tok Gajah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Adam Reed pada minit ke-40.
Sebaik sahaja babak kedua bermula, skuad kendalian Dollah Salleh tidak memberikan masa buat Kedah, menerusi jariangan Nik Muhammad Sharif Mohd Lazim, pada minit ke-46.
Keputusan itu menyaksikan Kedah kekal di tangga ketiga dengan 16 mata dengan berbaki dua perlawanan, manakala JDT yang gah di persada carta dengan 23 mata, hampir pasti meraih kejuaraan ketujuh, diikuti Perak di tempat kedua dengan 17 mata.
Sekiranya JDT tewas dalam kedua-dua baki perlawanan sekalipun, Perak hanya mampu mengugat kedudukan skuad Harimau Selatan itu, jika menang dengan jumlah jaringan yang besar kerana skuad kendalian Benjamin Mora, memiliki kelebihan jaringan sebanyak 17 gol, berbanding Perak yang hanya memiliki kelebihan tiga gol.
Dalam satu lagi aksi, Selangor yang baharu sahaja menamatkan khidmat ketua jurulatih B. Sathianathan kerana prestasi tidak memuaskan, terpaksa berhempas-pulas untuk bangkit meraih satu mata dengan mengikat UiTM FC 3-3 di Stadium UiTM, Shah Alam.
Skuad Gergasi Merah diselamatkan oleh sepakan penalti pemain import dari Nigeria Ifedayo Olusegun masa minit-minit terakhir perlawanan (90+5), selepas terlebih dahulu meraih jaringan menerusi Ifedayo pada minit ke-34 dan Sandro Da Silva pada masa kecederaan babak pertama (45+4).
Penyerang import dari Brazil Gustavo Dos Santos pula muncul wira pasukan UiTM FC selepas meledak gol pada minit ke-48 dan 58, sebelum Rabih Ataya meletakkan pasukan universiti itu hadapan pada minit ke-62.
Dalam saingan Liga Premier petang tadi, Pulau Pinang meningkatkan jurang di persada carta menerusi kemenangan tipis 2-1 ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
UKM FC mengejutkan Pulau Pinang menerusi jaringan penyerang import dari Nigeria Akanni-Sunday, pada minit ke-17, namun skuad Harimau Kumbang mengesahkan kemenangan menerusi jaringan penyerang import dari Brazil Casagrande, pada minit ke-48 dan sepakan penalti rakan senegaranya Endrick Dos Santos.
JDT II pula sekadar seri 1-1 menentang pasukan tercorot carta Perak II, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, hasil jaringan Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-23, sebelum Sacha Petshi mengikat kedudukan, menerusi sepakan penalti pada minit ke-64, apabila Kei Hirose menjatuhkan Khairul Asyraf dalam kotak penalti. Pulau Pinang kekal di puncak carta dengan 23 mata, diikuti Kuala Lumpur (20), JDT II (15) dan Terengganu FC II (13), di mana Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sudah pun mengesahkan kenaikan ke Liga Super 2021.-Bernama