
KANOWIT: Projek Menyimen Halaman Rumah Jenggut Anyau bernilai RM120,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan kemudahan asas di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
“Projek ini memberi manfaat secara langsung kepada penduduk dengan meningkatkan tahap keselesaan selain mewujudkan persekitaran yang lebih kemas dan teratur, khususnya di kawasan rumah panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (MPBR) dan Perasmian Projek RTP di Rumah Jenggut Anyau di Skim Penempatan Semula (SPS) Nanga Ngungun di sini, hari ini.
Menurut Anyi, projek berkenaan dilaksanakan oleh Majlis Daerah Kanowit (MDK) sebagai agensi pelaksana selaras dengan usaha kerajaan memastikan setiap peruntukan RTP dilaksanakan secara terancang dan berkesan.

“Kerajaan sentiasa memastikan setiap projek RTP dilaksanakan mengikut perancangan agar manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anyi berkata penganjuran MPBR berfungsi sebagai platform penting bagi mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, dengan penyertaan seramai 47 Tuai Rumah dari kawasan sekitar Ngemah.
Katanya, program itu turut menjadi medan memperkenalkan Ketua-ketua Jabatan baharu di Kanowit termasuk Pegawai Daerah serta Setiausaha MDK.
“Kerjasama erat antara pentadbiran daerah, Ahli Majlis dan pemimpin komuniti amat penting bagi memastikan setiap dasar dan program kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Anyi turut mengingatkan pemimpin komuniti supaya memahami syarat pelantikan Ketua Kaum bagi memastikan urusan pentadbiran di peringkat kampung dan rumah panjang berjalan lancar.
“Pemahaman yang jelas mengenai syarat pelantikan Ketua Kaum penting bagi menjamin kelancaran pentadbiran di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan permohonan baharu bagi projek RTP akan dibuka pada Mac 2026, manakala projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MIRRDA) melibatkan pembaikan atap serta pendawaian elektrik di kawasan SPS dijadualkan bermula pada April 2026.
Selain itu, Anyi berkata seramai 19 peserta dari kawasan berkenaan telah mendaftar dengan Jabatan Pertanian Kanowit bagi program penanaman kopi sebagai inisiatif menjana ekonomi komuniti setempat.
Oleh Tarani Lanting