
DEBAK: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong terus mempergiat usaha membendung jenayah penipuan dalam talian dengan menganjurkan Program Sembang Santai Bersama Komuniti bagi Pencegahan Penipuan Dalam Talian di Pasar Pagi Debak, semalam.
Menurut kenyataan media IPD Betong, program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 10.00 pagi itu bertujuan memberi pendedahan serta meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai trend terkini jenayah komersil yang semakin membimbangkan.
Program berkenaan telah dikendalikan oleh Sarjan Mas Rahim Joki dan Koperal Rozelind Wahit daripada BSJKD Betong dengan penyertaan kira-kira 30 orang awam terdiri daripada peniaga dan pengunjung pasar pagi.


Antara pengisian utama program ialah penerangan mengenai peranan National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997, penggunaan aplikasi Whoscall, promosi Kod QR E-Book Jenayah Komersil serta penjelasan ringkas berkaitan isu keldai akaun yang sering digunakan dalam kes penipuan dalam talian.
Melalui pendekatan santai dan mesra komuniti, masyarakat turut didedahkan kepada tanggungjawab bersama dalam mencegah penipuan serta langkah awal yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa jenayah komersil.
Secara keseluruhan, program ini menerima sambutan menggalakkan dengan respon positif daripada masyarakat setempat yang menyatakan hasrat untuk berkongsi maklumat E-Book Jenayah Komersil kepada keluarga dan kenalan.
Program berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam memperkukuh kerjasama bersama komuniti demi keselamatan awam.
Oleh Adi Safarman