
LOS ANGELES: Bintang ternama Kendrick Lamar, Bad Bunny dan Lady Gaga bersedia untuk mencipta sejarah pada Ahad ini di Los Angeles sempena Anugerah Grammy ke-68, yang mengiktiraf pencapaian terbaik dalam industri muzik.
Ketiga-tiga artis itu memburu kemenangan Album Terbaik Tahun Ini, anugerah paling berprestij malam gala berkenaan, buat kali pertama dalam kerjaya masing-masing.
Lamar, rapper pemenang Hadiah Pulitzer yang meraih lima trofi gramofon tahun lalu, menerima sembilan pencalonan kali ini terbanyak dalam kalangan semua artis termasuk bagi kategori Rakaman Terbaik dan Lagu Terbaik Tahun Ini.
Lady Gaga yang dikenali sebagai artis versatil, serta bintang Puerto Rico Bad Bunny, turut bersaing dalam ketiga kategori utama tersebut.

Turut dicalonkan bagi anugerah album tertinggi ialah puteri pop Sabrina Carpenter; penyanyi dan penulis lagu R&B Leon Thomas; Tyler, the Creator; duo hip-hop Clipse (Pusha T dan Malice); serta bintang pop Justin Bieber menerusi album studio pertamanya selepas empat tahun.
Lamar dicalonkan tahun ini menerusi album GNX, yang menampilkan single Luther bersama artis R&B SZA. Artis berusia 38 tahun itu telah mengumpul 22 Anugerah Grammy sepanjang kerjayanya.
Lady Gaga, Bieber dan Carpenter dijadualkan membuat persembahan, manakala lebih banyak artis dijangka diumumkan sebelum Ahad.

Pesaing utama Lamar bagi Album Terbaik Tahun Ini ialah Bad Bunny, yang kini dalam jelajah dunia bagi menyokong albumnya Debi Tirar Mas Fotos (I Should Have Taken More Photos)
“Ia merupakan album yang sangat mengujakan,” kata ahli muzikologi Lauron Kehrer kepada AFP.
“Ia menyentuh pelbagai aspek daripada sudut tema dan muzik,” katanya sambil merujuk kepada elemen dekolonisasi serta penggunaan irama tradisional Puerto Rico.
Megabintang Latin berusia 31 tahun itu, yang dilahirkan sebagai Benito Antonio Martinez Ocasio, bakal menjadi artis utama persembahan separuh masa Super Bowl seminggu selepas Grammy. Beliau turut dicalonkan bagi enam anugerah tahun ini.
Tahun lalu, Bad Bunny menamatkan residensi selama tiga bulan di tanah kelahirannya, Puerto Rico, selain mengacarakan episod pembukaan musim rancangan Saturday Night Live.
Albumnya Un verano sin ti (2022) mencipta sejarah sebagai album berbahasa Sepanyol pertama dicalonkan bagi Album Terbaik Tahun Ini. Kemenangan pada Ahad bakal sekali lagi mengukir namanya dalam sejarah Grammy.
Lady Gaga, 39, mencuri tumpuan menerusi kemunculan semula jelajah konsert dengan album Mayhem, koleksi lagu pop bertenaga dengan sentuhan gelap yang menonjolkan sisi dramatiknya. Beliau menerima tujuh pencalonan.

Penyanyi itu memiliki 14 Anugerah Grammy, namun kemenangan Album Terbaik Tahun Ini akan melengkapkan pencapaian tiga anugerah utama Grammy dalam kerjayanya.
Tujuh tahun lalu, Gaga memenangi Rakaman Terbaik dan Lagu Terbaik Tahun Ini menerusi lagu runut bunyi Shallow daripada filem A Star is Born, yang turut melayakkannya menerima Anugerah Oscar.
Kategori Lagu Terbaik Tahun Ini, yang memberi penekanan kepada penulisan lagu, dilihat sengit dengan pencalonan termasuk Manchild oleh Carpenter dan Golden daripada filem animasi popular Netflix KPop Demon Hunters.
Ramai pemerhati menjangkakan lagu K-pop bertenaga itu bakal meraih kemenangan.
Bagi kategori Artis Baharu Terbaik, calon-calon termasuk Alex Warren, kumpulan wanita Katseye, penyanyi Britain Olivia Dean, personaliti TikTok yang beralih ke dunia nyanyian Addison Rae, The Marías, sombr, Lola Young serta Thomas yang pernah memenangi Grammy dua tahun lalu sebagai penerbit lagu oleh SZA – AFP