
KUCHING: Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn Bhd (SCOPE) mengumumkan pembukaan permohonan bagi pengambilan terakhir Program Latihan Peningkatan Graduan Sarawak – Program Kesediaan Tempat Kerja (GETS-WRP) untuk sesi Mac dan April 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim berkata, program GETS-WRP memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan jangkaan sebenar industri.
“Program ini terus menjadi platform strategik dalam menyediakan graduan dengan kemahiran relevan bagi memenuhi keperluan majikan.
“Kami menggalakkan graduan yang layak untuk merebut peluang ini sebagai persediaan ke arah kerjaya yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut SCOPE, program berteraskan industri ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan Sarawak melalui pendedahan kepada kemahiran tempat kerja, latihan praktikal serta pembentukan kompetensi profesional sejajar dengan keperluan industri semasa.
GETS-WRP merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan bakat negeri Sarawak selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khusus bagi memperkukuh kesiapsiagaan graduan memasuki alam pekerjaan.
Berdasarkan kejayaan dan sambutan menggalakkan daripada kohort terdahulu, pengambilan Mac dan April 2026 akan menumpukan kepada persediaan kemasukan segera ke pasaran kerja menerusi latihan kemahiran kebolehkerjaan, komunikasi profesional, etika kerja, pembangunan kemahiran insaniah serta penglibatan industri termasuk peluang penempatan.
Pengambilan Mac dan April 2026 merupakan peluang terakhir bagi graduan menyertai kitaran GETS-WRP semasa, justeru graduan Sarawak yang layak, khususnya mereka yang masih menganggur, disaran mengemukakan permohonan lebih awal memandangkan tempat adalah terhad.
Selepas tamat fasa latihan, peserta akan dipertimbangkan untuk penempatan bersama majikan yang mengambil bahagian, tertakluk kepada kekosongan dan kesesuaian.
Maklumat lanjut mengenai program GETS-WRP dan permohonan boleh diperoleh melalui laman sesawang https://gets.scopetraining.com.my/ atau menghubungi Sekretariat GETS-WRP, Ms. Mariane di mariane@scope.net.mydan Ms. Nadzirah di nadzirah@scope.net.my atau talian 082-231 230.