Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sarawak perkukuh status hab tenis antarabangsa 2026
  • SUKAN

Sarawak perkukuh status hab tenis antarabangsa 2026

Utusan Sarawak 6 hours ago
MENTERI Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media pengumuman Kalendar Kejohanan Tenis Sarawak 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

PETRA JAYA: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi tenis antarabangsa terkemuka di Asia menerusi penganjuran lebih 20 kejohanan tenis sepanjang 2026, termasuk enam kejohanan bertaraf antarabangsa di bawah Kalendar Rasmi Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA).

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran berterusan kejohanan bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja meningkatkan profil sukan negeri, malah memberi limpahan besar kepada sektor pelancongan serta ekonomi tempatan.

Menurut beliau, Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada beberapa kejohanan utama termasuk Piala Perdana Sarawak ke-44 dan ke-45, Jelajah Tenis Dunia Remaja Persekutuan Tenis Antarabangsa, Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia Bawah 14 Tahun serta Siri Asia Bawah 14 Tahun Persekutuan Tenis Asia, yang menghimpunkan pemain muda elit dari Asia dan Oceania.

“Penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa ini membuktikan keupayaan Sarawak dari segi prasarana, pengurusan kejohanan dan hospitaliti, sekali gus mengukuhkan keyakinan badan tenis antarabangsa terhadap negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Kalendar Kejohanan Tenis Sarawak 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Selain kejohanan antarabangsa, Abdul Karim berkata kalendar 2026 turut merangkumi pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan dan pembangunan akar umbi bagi memastikan kesinambungan bakat tenis tempatan serta pendedahan kompetitif berterusan kepada pemain muda Sarawak.

Antara tumpuan utama tahun hadapan ialah penganjuran Kejohanan Persekutuan Tenis Cina Dunia, yang buat pertama kali akan diadakan di Kuching selepas majlis penyerahan rasmi bendera kejohanan di Wenzhou, China, dengan penyertaan dianggarkan melibatkan kira-kira 300 pemain dan delegasi antarabangsa.

Abdul Karim menegaskan bahawa penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa merupakan pemangkin penting kepada pembangunan bakat muda tempatan serta industri pelancongan sukan, dengan kesan ekonomi langsung kepada sektor perhotelan, pengangkutan dan perkhidmatan setempat.

“Ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi sukan bertaraf dunia dan pusat pembangunan atlet berprestasi tinggi di rantau ini,” katanya.

Abdul Karim berkata, penganjuran kejohanan tenis antarabangsa di Sarawak sebelum ini telah memberikan impak ekonomi langsung dianggarkan mencecah RM4 juta, hasil perbelanjaan pemain, pegawai, delegasi serta pelancong sukan sepanjang tempoh kejohanan berlangsung.

Menurut beliau, limpahan ekonomi itu memberi manfaat ketara kepada pelbagai sektor termasuk perhotelan, restoran, pengangkutan, peruncitan serta penyedia perkhidmatan pelancongan, sekali gus membuktikan peranan sukan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau menegaskan, dengan penganjuran lebih 20 kejohanan tenis sepanjang 2026, impak ekonomi dan pelancongan sukan dijangka terus meningkat seiring pertambahan penyertaan antarabangsa dan tempoh penganjuran kejohanan yang lebih panjang.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: SLTA terima pengiktirafan emas Persekutuan Tenis Asia
Next: Isu atlet rentas negeri menjelang SUKMA diselesaikan secara adil

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.