
BERLIN: Seorang remaja maut akibat terkena renjatan elektrik di sebuah stesen kereta api bawah tanah di Berlin selepas cuba mengambil rokok elektronik miliknya yang terjatuh di landasan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Polis bandar raya itu memaklumkan hari ini bahawa remaja lelaki berusia 17 tahun itu merupakan sebahagian daripada sekumpulan individu yang sedang berkumpul di Stesen Deutsche Oper, sebelum mangsa cuba mengambil peranti vap miliknya yang terjatuh di bawah sebuah kereta api yang sedang berhenti.
Ketika berbuat demikian, mangsa tersentuh landasan lalu terkena renjatan elektrik dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap polis berkata kereta api kadangkala diletakkan buat sementara waktu di stesen bawah tanah.
Bagaimanapun, landasan akan tetap mempunyai aliran elektrik walaupun tanpa kehadiran kereta api, dan sebarang sentuhan pada rel berkenaan boleh mengakibatkan renjatan elektrik yang membawa maut.
-Bernama