
MIRI: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya menyelesaikan satu kes kecurian radiator jentera berat jenis Caterpillar yang dilaporkan berlaku di sebuah bengkel di kawasan Krokop, di sini.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan selepas kejadian kecurian dilaporkan berlaku pada 14 Januari 2026, dengan anggaran kerugian berjumlah RM5,300.
Menurut kenyataan Polis Daerah Miri, hasil risikan dan operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri, seramai enam suspek tempatan berjaya diberkas dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar kawasan Lutong dan Pusat Bandar Miri.
Siasatan awal mendapati kegiatan kecurian tersebut dilakukan secara terancang, dan barang curi dipercayai telah dijual.
Pihak polis turut merampas beberapa kenderaan serta barangan berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.
IPD Miri menegaskan komitmen berterusan pasukan polis dalam membanteras jenayah harta benda dan aktiviti jenayah terancang di daerah ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah dinasihatkan supaya menyalurkannya kepada balai polis berhampiran bagi membantu usaha penguatkuasaan.
Oleh Adum Liu