
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini. Foto: ADUN Kalaka
SARATOK: Satu lagi janji ditepati, majlis penyambungan segmen terakhir struktur Jambatan Sungai Krian di Kaba hari ini menjadi bukti konkrit kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memacu transformasi luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan bahawa projek ini bukan sekadar binaan simen dan besi, malah ia adalah komitmen berterusan kerajaan Sarawak demi kesejahteraan rakyat yang tidak pernah dikesampingkan.
Penghargaan tertinggi dizahirkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak atas dedikasi luar biasa dalam memastikan pembangunan infrastruktur di negeri ini terus memecut laju tanpa henti.
”Pembinaan jambatan ini bukan sekadar struktur asas, ia membawa harapan dan makna besar buat penduduk DUN Kalaka untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.
Membabitkan pelaburan bernilai RM112.4 juta, jambatan ikonik ini dijadualkan dibuka secara rasmi pada 15 Mac ini, sekali gus menjadi ‘hadiah’ istimewa buat rakyat menjelang sambutan Aidilfitri.
Impaknya besar, pembukaan laluan ini bakal membuka lembaran baharu ekonomi di Bahagian Betong, merancakkan sektor pertanian, serta melonjakkan potensi pelancongan setempat ke tahap yang lebih tinggi.
Mohamad Duri menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti kepimpinan berwawasan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama.
Sarawak kini sedang melakar sejarah melalui pembinaan sembilan jambatan utama di seluruh negeri yang dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi, satu pencapaian yang sukar ditandingi.
Apabila beroperasi kelak, penduduk dari Daerah Pusa ke Kabong dan Saratok boleh menarik nafas lega kerana tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan feri yang memakan masa.
Jaringan ini juga bakal melengkapkan integrasi infrastruktur melalui Jambatan Batang Saribas 2 hingga ke Roban, sekali gus mengukuhkan rantaian ekonomi yang lebih dinamik buat seluruh kawasan sekitar.
Oleh Adi Safarman