
KUCHING: Dua lelaki ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan dadah di Kampung Melayu, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menjalankan pemeriksaan sekitar 7.15 malam sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 32 tahun kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah.
“Mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Haide menegaskan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan kesalahan berkaitan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau talian hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng