

SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor meluangkan masa menyantuni waris mendiang Angelin Kibin dan Andy Roy Junran dalam satu kunjungan ziarah penuh emosi di kediaman keluarga berkenaan di Taman Mutiara, hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan memberikan sokongan moral selain menyampaikan sumbangan pendidikan kepada tiga orang anak pasangan berkenaan yang kini bergelar yatim piatu selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka dalam insiden menyayat hati pada 14 Januari lalu.
Dayang Noorazah yang diiringi kepimpinan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga meluangkan masa berbual dengan ahli keluarga yang kini menggalas tanggungjawab menjaga ketiga-tiga kanak-kanak tersebut.
Beliau menegaskan bahawa kebajikan, pendidikan serta kestabilan emosi anak-anak berkenaan perlu diberi keutamaan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas melalui trauma kehilangan besar.
“Kita mahu anak-anak ini tahu bahawa mereka tidak sendirian. Saya berharap mereka terus diberikan kekuatan, ketenangan dan kasih sayang yang mencukupi untuk membesar dengan baik walaupun berdepan saat yang amat sukar,” katanya.
Menurut beliau, sumbangan pendidikan yang disampaikan diharap dapat memastikan kelangsungan persekolahan anak-anak mendiang tidak terjejas, selain menjadi pemangkin semangat untuk mereka terus menuntut ilmu demi masa depan yang lebih baik.
Insiden yang menimpa pasangan berkenaan bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga, malah turut menyentuh perasaan masyarakat setempat dan rakyat Sarawak secara keseluruhan.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta menzahirkan harapan agar sokongan berterusan daripada masyarakat dan pelbagai pihak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan.
Oleh Adi Safarman