
SARIKEI: Pemeriksaan ke atas sebuah motosikal di Jalan Sungai Kesa membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan bersama dadah disyaki syabu seberat 5.05 gram dalam satu operasi oleh polis, petang semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintenden Aswandy Anis, berkata lelaki tersebut ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei ketika sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati terdapat empat plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu atau methamphetamine dengan anggaran berat kasar 5.05 gram.
“Suspek kemudiannya ditangkap dan dibawa ke pejabat BSJND Sarikei untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Aswandy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hukuman bagi kesalahan di bawah seksyen ini jika disabitkan kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun tetapi tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali tetapi tidak melebihi sembilan kali.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus mempertingkatkan tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau JSJN Sarawak di 017-592 9211,” katanya.
Oleh Earl Anek