SIBU, 24 Oktober: Pemeliharaan sungai bukan sahaja penting untuk menjamin kelangsungan ekosistem dan kehidupan masyarakat, malah berpotensi menjadi pemangkin pembangunan ekonomi, tenaga hijau serta industri teknologi tinggi di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kekayaan sumber air Sarawak merupakan kelebihan yang perlu dimanfaatkan secara mampan bagi menyokong pembangunan industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan termaju.

Menurutnya, industri berteknologi tinggi memerlukan bekalan air dan tenaga yang mencukupi, termasuk untuk sistem penyejukan, sekali gus menjadikan pengurusan sungai sebagai antara asas penting dalam memperkukuh daya saing ekonomi Sarawak.
“Kalau Sarawak banyak sungai, kita bersihkan dan rawat air untuk tenaga hijau serta sistem penyejukan bagi industri pembuatan berteknologi tinggi,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2 di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, Sungai Rajang yang merupakan sungai terpanjang di Malaysia bersama rangkaian anak sungainya memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat, selain menyediakan sumber rezeki kepada nelayan dan komuniti yang tinggal di sepanjang sungai.

Beliau turut berkongsi pemerhatian mengenai peningkatan populasi ikan terubuk di kawasan Batang Lupar selepas pembinaan jambatan, yang menurutnya membuka ruang untuk kajian lanjut mengenai hubungan struktur jambatan dengan habitat dan sumber makanan ikan berkenaan.
“Sungai yang bersih amat penting untuk memastikan kelangsungan hidupan akuatik, manakala pencemaran boleh menjejaskan ekosistem dan mengurangkan sumber pendapatan masyarakat yang bergantung kepada hasil sungai,” katanya.
Dalam aspek pembangunan tenaga, Abang Johari berkata, sumber air Sarawak telah dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga hidroelektrik menerusi empangan seperti Bakun dan Murum, sekali gus menyumbang kepada keperluan tenaga bersih serta potensi kerjasama dalam rangkaian tenaga serantau.
Katanya, Sarawak turut meneroka penggunaan teknologi pengurusan air dalam sektor pertanian, termasuk sistem takungan dan kitaran semula air untuk penanaman padi serta eksperimen padi saka bagi memperkukuh keterjaminan makanan negeri.
Menurutnya, semua usaha pembangunan itu perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar.
Abang Johari berkata, Sarawak juga perlu melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi bagi membolehkan negeri ini bergerak daripada sekadar menggunakan teknologi kepada keupayaan membangunkan teknologi sendiri.
Katanya, pelaburan dalam pendidikan, termasuk penyediaan pendidikan percuma kepada anak Sarawak, merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk membina tenaga kerja yang mampu menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi pada masa hadapan.
Beliau menegaskan, sumber air dan sungai merupakan aset penting yang perlu dipelihara demi manfaat generasi akan datang, selain memastikan pembangunan ekonomi Sarawak terus berkembang secara mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Mad Zaidi Mohd Karli, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Air) Kementerian PETRA, Dato’ Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Datuk Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denny Ahmad Fauzi serta yang lain.
Oleh Akun Giman



