
MANCHESTER: Manchester United menghadiahkan permulaan impian buat Michael Carrick dalam tugasan sementaranya sebagai pengurus apabila menewaskan seteru setempat, Manchester City 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, sebentar tadi.
Kemenangan itu memberi tamparan hebat kepada cabaran kejuaraan City apabila United mendominasi perlawanan, meskipun hanya berjaya memastikan kemenangan dalam tempoh 25 minit terakhir permainan.
United sepatutnya menang lebih besar namun tiga gol mereka dibatalkan kerana ofsaid, selain aksi cemerlang penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma, yang berkali-kali menyelamatkan gawang.
Bryan Mbeumo menandakan kepulangannya daripada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan jaringan pembukaan sebelum Patrick Dorgu melengkapkan kemenangan, sekali gus menghadiahkan hanya kemenangan kedua United dalam lapan perlawanan terakhir.
Keputusan itu melonjakkan United ke kelompok empat teratas liga, namun kejayaan berkenaan turut diraikan di utara London apabila Arsenal semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 22 tahun.
Arsenal kendalian Mikel Arteta berpeluang melebarkan jurang kepada sembilan mata di puncak liga apabila bertemu Nottingham Forest, awal pagi esok.
Percaturan berani Carrick membuahkan hasil apabila mengetepikan Benjamin Sesko dan Matheus Cunha yang sedang beraksi baik, bagi memberi laluan kepada kepulangan Mbeumo dan Amad Diallo selepas tugasan antarabangsa.
Harry Maguire turut kembali dalam kesebelasan utama buat kali pertama dalam tempoh dua bulan dan hampir meletakkan United di depan seawal minit kedua, namun tandukannya hasil sepakan sudut Bruno Fernandes sekadar menggegar palang gol.
City yang dibelenggu kecederaan di bahagian pertahanan menurunkan gandingan muda Max Alleyne dan Abdukodir Khusanov di posisi bek tengah, walaupun kelab itu dilaporkan hampir memuktamadkan perpindahan kapten Crystal Palace, Marc Guehi.
Barisan pertahanan sementara City bergelut mengekang asakan United sepanjang perlawanan dan hanya diselamatkan oleh aksi cemerlang Donnarumma.
Penjaga gol Itali itu melakukan beberapa penyelamatan penting, termasuk menafikan percubaan Dorgu dan menggagalkan Diallo serta Fernandes yang menjaringkan gol tetapi berada dalam kedudukan ofsaid.
Guardiola cuba mengubah rentak permainan dengan memasukkan Nico O’Riley dan Raya Cherki sebaik babak kedua bermula, namun City terus bergelut apabila rekod tanpa kemenangan mereka dalam empat perlawanan liga berterusan sejak awal tahun.
Gol pembukaan akhirnya hadir 25 minit sebelum tamat perlawanan apabila sepakan percuma lemah Cherki membolehkan United melancarkan serangan balas pantas, sebelum Mbeumo melepaskan rembatan rendah menewaskan Donnarumma.
Gol kedua menyusul apabila Dorgu mengambil kesempatan terhadap kelalaian Rico Lewis di tiang jauh, dengan Cunha memainkan peranan penting selepas masuk sebagai pemain gantian.
Guardiola seakan mengibarkan bendera putih apabila mengeluarkan Erling Haaland 10 minit sebelum tamat, manakala Diallo hampir menambah derita City apabila percubaannya mengenai tiang pada minit ke-90.
Mason Mount turut menjaringkan gol dengan sentuhan pertamanya selepas menggantikan Fernandes, namun VAR sekali lagi membatalkan jaringan United kerana ofsaid.
Walaupun begitu, gangguan terhadap harapan kejuaraan City sudah pun berlaku, menjadikan kemenangan ini detik manis buat Carrick dalam kepulangannya ke Theatre of Dreams.
– AFP