
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa hujung minggu untuk mengunjungi Pasar Raya Emart Batu Kawa, hari ini.
Kunjungan ini merupakan pengalaman pertama Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ke pasar raya berkenaan, meskipun sering mendengar tentangnya daripada anak-anak. Dalam lawatan tersebut, Tun Wan Junaidi turut membeli barangan persediaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026. Anaknya, Sharifah Fariah, turut bersama dalam kunjungan ini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah disambut oleh Pengarah Pengurusan Emart Group, Ngu Ting Sii, bersama barisan pengurusan tertinggi dan pegawai kanan syarikat. Sepanjang berada di premis berkenaan, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mengambil kesempatan beramah mesra serta berinteraksi dengan para pengunjung yang hadir, khususnya orang ramai yang memanfaatkan hujung minggu untuk membeli-belah.

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut meninjau medan selera Emart yang menawarkan pelbagai pilihan makanan. Suasana yang meriah dengan kehadiran pengunjung mencerminkan peranan pasar raya tersebut sebagai salah satu tumpuan masyarakat setempat.
Dalam kesempatan itu, ramai pengunjung turut mengambil peluang untuk bergambar bersama Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah.
Tun Wan Junaidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi Emart Group atas layanan yang baik, mesra dan profesional sepanjang kunjungan ini.