
KUCHING: Air banjir yang melanda beberapa kawasan di Sarawak berpotensi menyembunyikan pelbagai bahaya termasuk talian elektrik tumbang, lubang pembetung terbuka serta serpihan tajam yang boleh mengakibatkan renjatan elektrik, kebakaran dan kecederaan kepada orang awam.
Sarawak Energy dalam satu kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati khususnya ketika melalui kawasan yang terjejas banjir dan hakisan tanah.
“Air banjir boleh menyembunyikan bahaya seperti talian elektrik tumbang, lubang pembetung terbuka, serpihan tajam serta risiko renjatan elektrik, kebakaran atau kecederaan,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, hujan berterusan telah menyebabkan banjir, kejadian tanah runtuh serta gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Sarawak sekali gus meningkatkan risiko keselamatan kepada orang awam.
Sarawak Energy menasihatkan orang ramai supaya mematuhi semua nasihat keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang risiko yang tidak perlu.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mematikan bekalan elektrik utama di papan suis rumah apabila paras air mula meningkat, mencabut plag peralatan elektrik serta memindahkannya ke tempat lebih tinggi.
“Orang ramai juga diminta menjauhi kemudahan elektrik yang mungkin rosak akibat cuaca buruk, termasuk tiang dan talian elektrik tumbang yang masih berarus.
“Pengguna bot di kawasan banjir perlu sentiasa berwaspada terhadap talian elektrik di atas kepala kerana paras air yang tinggi boleh mengurangkan jarak selamat daripada talian voltan tinggi,” katanya.

Selepas banjir surut, orang ramai diingatkan supaya tidak menghampiri talian elektrik tumbang serta tidak menggunakan peralatan elektrik yang telah ditenggelami air kerana risiko renjatan atau kebakaran.
Sarawak Energy turut memaklumkan pasukan teknikalnya berada di lapangan dan bersiap siaga 24 jam bagi memastikan semua kemudahan elektrik selamat untuk beroperasi.
“Orang ramai boleh melaporkan gangguan bekalan elektrik atau infrastruktur tidak selamat melalui Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, e-mel customercare@energy.com, aplikasi atau portal web SEB Cares atau melalui ejen maya CARINA,” katanya.