Lebih setengah juta calon duduki peperiksaan kemasukan Universiti Korea Selatan

Facebook
WhatsApp
SEORANG pelajar menunggu peperiksaan kemasukan tahunan ke kolej bermula di sebuah dewan peperiksaan di Seoul pada 19 November 2026. Foto AFP

SEOUL, 19 November: Peperiksaan kemasukan universiti tahunan Korea Selatan dijadual berlangsung di seluruh negara pada Khamis, dengan pihak berkuasa mempergiat usaha membanteras penipuan menggunakan peranti pintar dan kecerdasan buatan (AI), lapor Agensi Berita Yonhap.

College Scholastic Ability Test (CSAT), antara peperiksaan akademik terpenting di negara itu, akan diadakan di 1,312 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula 8.40 pagi hingga 5.45 petang.

Seramai 551,864 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tahun ini, dengan pihak berkuasa menempatkan kira-kira 75,000 pengawas peperiksaan dan 8,400 petugas tambahan bagi mengesan calon yang menipu di pusat peperiksaan seluruh negara.

CERMIN mata seorang pelajar diletakkan di atas meja untuk diperiksa bagi memastikan tiada kamera tersembunyi ketika pelajar menunggu peperiksaan kemasukan tahunan ke kolej bermula di sebuah dewan peperiksaan di Seoul pada 19 November 2026. Foto AFP

Kerajaan memperketat langkah pencegahan penipuan bagi CSAT selepas calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan kelayakan akauntan cukai bertauliah tahun ini mengaku menipu dengan bantuan AI dan peranti digital, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.

Sebagai sebahagian daripada langkah itu, petugas akan memeriksa setiap cermin mata yang dipakai calon bagi mengesan kamera tersembunyi, selain mengedarkan pelekat untuk menutup butang pakaian bagi menghalang penggunaan kamera bersaiz kecil.

Semua peranti elektronik dilarang dibawa masuk ke bilik peperiksaan, dengan calon hanya dibenarkan membawa pensel.

Pihak berkuasa juga akan menghantar dua mesej amaran bencana yang direka untuk diterima hampir semua telefon bimbit di seluruh negara dan mengeluarkan bunyi amaran kuat walaupun dalam mod senyap, bagi mengesan telefon yang tidak diserahkan oleh calon.

Kerajaan turut berusaha mengenakan larangan menduduki semula peperiksaan itu selama 10 tahun terhadap calon yang didapati menipu, selain menawarkan ganjaran sehingga 100 juta won (AS$75,000) kepada individu yang melaporkan salah laku.

PETUGAS media merakam paparan telefon yang menunjukkan amaran kecemasan berbunyi ‘Peperiksaan Keupayaan Akademik Kolej tahunan akan bermula tidak lama lagi. Sila bekerjasama bagi memastikan peperiksaan berlangsung dengan adil’ di luar Sekolah Tinggi Perempuan Yeouido, Seoul pada 19 November 2026. Foto AFP

CSAT merupakan kemuncak kepada usaha pembelajaran intensif selama bertahun-tahun bagi kebanyakan pelajar dan dianggap antara peristiwa penting dalam kehidupan di Korea Selatan, memandangkan universiti yang dimasuki seseorang boleh mempengaruhi prospek kerjaya mereka.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan keperluan calon dipenuhi pada hari peperiksaan.

Semua pesawat dilarang berlepas dan mendarat di seluruh negara mulai 1.05 tengah hari hingga 1.40 tengah hari bagi mengurangkan bunyi bising ketika ujian mendengar bahasa Inggeris berlangsung.

Di Seoul, perkhidmatan tren bawah tanah akan ditambah sebanyak 27 perjalanan bagi membantu pelajar tiba di pusat peperiksaan tepat pada masanya.

Pasaran saham tempatan yang lazimnya dibuka pada 9.00 pagi dan ditutup pada 3.30 petang pula akan memulakan dan menamatkan dagangan sejam lebih lewat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak pagi. – Bernama-Yonhap