Lukisan Van Gogh dijual pada harga rekod AS$190.4 juta selepas pertikaian

Facebook
WhatsApp
LUKISAN Chataigniers en fleurs (Pokok Berangan Sedang Berbunga) yang dihasilkan pada 1890 di Auvers-sur-Oise, Perancis, dianggarkan mampu mencapai harga AS$180 juta, sekali gus mencatat rekod baharu bagi karya seni Van Gogh. Foto AFP

NEW YORK, 19 November: Sebuah karya agung pelukis terkenal Vincent van Gogh dijual pada harga rekod AS$190.4 juta selepas berlakunya pertikaian antara pihak penjual dengan waris pemilik terdahulu berketurunan Yahudi yang menjual lukisan itu ketika era Nazi, menurut Sotheby’s.

Lukisan berjudul Chataigniers en fleurs (Pokok Berangan Sedang Berbunga), yang dihasilkan pada 1890 di Auvers-sur-Oise, Perancis, mencatat rekod baharu bagi pelukis pascaimpresionis Belanda itu dan menjadi karya seni paling mahal dilelong setakat musim ini.

Rekod lelongan terdahulu bagi lukisan Van Gogh ialah AS$117.2 juta untuk karya Orchard with Cypresses yang dihasilkan pada 1888 dan dijual di Christie’s, New York pada November 2022.

Penerbit berpengaruh dari Jerman, Samuel Fischer, memperoleh lukisan itu di Paris pada 1909 sebelum keluarganya menjualnya pada 1936.

Waris Fischer sebelum ini membantah penjualan lukisan berkenaan dengan alasan keluarga itu terpaksa melepaskannya akibat kerugian kewangan yang dialami ketika pemerintahan Nazi.

Peguam waris berkenaan yang berpangkalan di Berlin, Gunnar Schnabel, sebelum ini meminta Sotheby’s membuktikan bahawa lukisan itu dijual pada nilai pasaran sebenar dan keluarga berkenaan akan tetap menjualnya tanpa mengira keadaan politik ketika itu.

Keluarga Blaquier-Arrieta memperoleh lukisan itu pada 1975 dan telah memilikinya selama lebih setengah abad, menurut Sotheby’s.

Bagaimanapun, Sotheby’s memaklumkan bahawa satu persetujuan telah dicapai antara keluarga Blaquier-Arrieta dengan semua waris sah Hedwig dan Samuel Fischer berhubung penjualan karya Vincent van Gogh berjudul Chataigniers en fleurs.

Schnabel tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan komen.

Menurut Sotheby’s, waris Fischer menyatakan penghargaan atas rundingan dan kerjasama yang dijalankan secara telus serta adil bersama Sotheby’s dan keluarga Blaquier-Arrieta.

Mereka berkata persetujuan itu membolehkan penderitaan keluarga Fischer ketika era Nazi diiktiraf, selain menghormati usaha Gisela Berman Fischer dalam memperjuangkan keadilan untuk keluarganya. – AFP