
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah mula melaksanakan Sistem Parkir Pintar sejak 2 Januari lalu, namun kupon parkir sedia ada masih diterima pakai sehingga 30 Jun ini.
Timbalan Pengerusi MPS, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley berkata, jualan kupon parkir akan dihentikan sepenuhnya mulai Februari depan.
“Orang awam yang masih mempunyai kupon parkir boleh terus menggunakannya sehingga 30 Jun ini. Selepas tarikh tersebut, kupon boleh ditukar kepada SMC Cares untuk tujuan parkir sahaja,” jelasnya.
Beliau memberitahu, Notis Parkir Lebih Masa (OPN) juga telah dikuatkuasakan bermula 2 Januari lalu, dengan orang ramai disarankan untuk menyemak dan memuat turun aplikasi SMC Cares.
“Sekiranya belum berbuat demikian, sila muat turun aplikasi tersebut dan daftarkan nombor pendaftaran kenderaan masing-masing dengan segera,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, hanya SPay Global disediakan sebagai kaedah pembayaran, namun pihak majlis akan memperkenalkan ebih banyak pilihan pembayaran.
“Kaedah pembayaran lain seperti Touch ‘n Go, kad kredit, DuitNow dan FPX akan diperkenalkan. Kawasan parkir pintar yang beroperasi akan ditandakan dengan jelas dalam masa terdekat,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Izkandar ketika ditemu bual Utusan Sarawak bagi mengulas lebih lanjut mengenai pelaksanaan Sistem Parkir Pintar memberitahu, pihak majlis akan memasang papan tanda di tempat Sistem Parkir Pintar secara progresif untuk meningkatkan pemahaman pengguna dan meningkatkan kesedaran awam.


Selain itu, katanya, pihak majlis juga akan mengeluarkan penguatkuasaan Notis Parkir Lebih Masa (OPN) untuk pelanggaran tempat letak kereta berlebihan.
“Ini akan dipantau oleh pegawai penguatkuasa mengikut perintah tempat letak kereta sedia ada. Justeru itu, para pengguna adalah dinasihatkan supaya mematuhi tempoh tempat letak kereta yang telah ditetapkan untuk mengelakkan penalti,” ujarnya lagi.
Izkandar turut menjelaskan, bagi mengelakkan kekeliruan atau penalti yang tidak wajar terhadap warga emas dan pengguna yang kurang celik teknologi, ahli keluarga dibenarkan membuat pembayaran parkir dari jauh.
“Di samping itu, sesi demonstrasi akan dianjurkan untuk pengguna berumur 60 tahun ke atas di Perpustakaan MPS dan melalui program ‘Resident Councillorship System (RCS)’, disokong oleh inisiatif publisiti dan jangkauan,” katanya.

Menurutnya, SMC Cares direka bentuk untuk mesra pengguna dan menyokong berbilang kenderaan di bawah satu akaun.
“Akses kenderaan juga boleh dikongsikan jika perlu,” ujarnya
Beliau menegaskan, seiring Sibu menuju ke arah menjadi bandar pintar, penggunaan penyelesaian digital adalah penting.
“Pengguna adalah digalakkan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini, dengan panduan dan sokongan yang diberikan semasa tempoh peralihan,” katanya.
Oleh Akun Giman