
KUCHING: Situasi banjir di Sarawak menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi terus berkurangan, dengan hanya satu PPS masih aktif setakat kemas kini 4.00 petang, hari ini.
Menurut Laporan Bencana Negeri Sarawak, trend pemindahan mangsa banjir di negeri ini direkodkan sebagai menurun, selari dengan keadaan cuaca dan paras air sungai yang semakin stabil di beberapa kawasan terjejas.
Di Bahagian Bintulu, PPS Dewan Suarah Bintulu yang sebelum ini menempatkan mangsa banjir telah ditutup sepenuhnya pada 1.30 tengah hari selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Sementara itu, di Daerah Sebauh, hanya PPS Balai Raya Sebauh masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir yang belum dapat pulang berikutan keadaan persekitaran yang masih belum selamat sepenuhnya.
PPS berkenaan kini menempatkan 15 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 24 orang mangsa, menunjukkan penurunan berbanding rekod sebelumnya apabila beberapa keluarga telah dibenarkan pulang.
Dalam perkembangan sama, PPS Dewan Sri Kemena, SMK Sebauh turut ditutup pada 12.00 tengah hari selepas keadaan banjir di kawasan tersebut dilaporkan pulih.
Secara keseluruhan, hanya satu PPS masih beroperasi di Sarawak dengan jumlah keseluruhan 15 KIR dan 24 mangsa, mencerminkan keadaan banjir yang semakin terkawal.
Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan terus memantau situasi semasa serta menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.
Oleh Adi Safarman