
BINTANGOR: Penduduk Rumah Empin Baong, Skim B kini menikmati kemudahan sistem peparitan baharu selepas projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM50,000 berjaya disiapkan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata projek tersebut bertujuan menambah baik sistem saliran di kawasan rumah panjang tersebut bagi mengurangkan risiko banjir dan masalah takungan air yang sering menjejaskan keselesaan penduduk.
“Pelaksanaan projek infrastruktur asas seperti sistem peparitan amat penting dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat luar bandar.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyalurkan peruntukan serta melaksanakan projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada kehidupan seharian masyarakat,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan siap projek RTP tersebut, semalam.
Katanya, projek pembinaan baharu sistem peparitan itu bermula pada 26 November 2025 dan dijadualkan siap pada 25 Mei ini, namun berjaya disiapkan lebih awal hasil kerjasama erat dan komitmen semua pihak terlibat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kontraktor pelaksana, agensi berkaitan dan penduduk Rumah Empin Baong atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan projek sehingga ia dapat disiapkan dengan lancar serta mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Siapnya projek tersebut, penduduk rumah panjang ini dijangka menikmati manfaat jangka panjang khususnya dari segi keselamatan, kebersihan dan keselesaan persekitaran kediaman,” katanya.
Turut hadir wakil Residen Sarikei, Awangku Usman; Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarikei, Angelia Rasid dan Tuai Rumah Empin Baong.
Oleh Earl Anek