Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Kraf tangan tempatan jadi pemacu ekonomi luar bandar Parlimen Julau
  • Tengah
  • WILAYAH

Kraf tangan tempatan jadi pemacu ekonomi luar bandar Parlimen Julau

Utusan Sarawak 5 hours ago
AHLI Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien menyerahkan peruntukan MRP kepada penerima. Foto Facebook Datuk Larry Sng Wei Shien

PAKAN: Pembangunan produk kraf tangan tempatan dijangka menjadi pemacu baharu ekonomi luar bandar di kawasan Parlimen Julau menerusi satu program inisiatif berfokuskan pemerkasaan wanita yang menggabungkan sektor kraf tangan dan ekopelancongan berasaskan komuniti.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata program berkenaan dirangka bagi melengkapkan golongan wanita dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan penghasilan produk kraf tangan yang berpotensi tinggi dalam industri pelancongan.

Katanya, antara komponen utama program tersebut adalah perancangan membawa mereka mengikuti lawatan sambil belajar ke lokasi pengeluar produk kraftangan yang telah berjaya bagi memberi pendedahan secara langsung serta membina keyakinan dan semangat keusahawanan.

“Tujuan program adalah untuk memberi mereka peluang untuk mengenali pengeluar produk kraf tangan, pengeluar minyak wangi, makanan dan produk kreatif lain yang boleh dijadikan contoh untuk dibangunkan di peringkat tempatan.

“Produk kraf tangan di negara kita mempunyai potensi yang tinggi kerana ia dihasilkan secara kreatif, bernilai komersial dan boleh dijual dengan cara yang lebih baik.

SEBAHAGIAN penduduk rumah panjang yang hadir di program bersama rakyat, bertempat di Rumah Anyuk, Batu 2½ Jalan Entabai, baru-baru ini. Foto Facebook Datuk Larry Sng Wei Shien

“Pemerhatian ini mendorong saya untuk membuat perancangan supaya produk sedemikian juga boleh dibuat di kawasan Parlimen Julau bagi meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.

Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berkata demikian ketika berucap pada program bersama rakyat di Rumah Anyuk, Batu 2½ Jalan Entabai, baru-baru ini.

Tambahnya, pelaksanaan program tersebut turut mengambil kira keperluan mewujudkan sebuah pusat pengumpulan produk kraf tangan yang berfungsi sebagai platform pameran dan pemasaran, selain membantu mempromosikan produk tempatan sebagai tarikan kepada pengunjung.

Disamping itu, katanya, para peserta program akan diberikan pendedahan awal terhadap aspek penting pembangunan produk termasuk kawalan kualiti, pembungkusan, strategi pemasaran serta pengurusan ekonomi berskala kecil.

“Selepas mereka pulang dari lawatan sambil belajar, mereka dijangka membawa Biro Wanita untuk belajar dan berkongsi ilmu yang telah dipelajari serta boleh dikongsikan kepada masyarakat.

“Program ini bukan sahaja akan tertumpu kepada pelancongan, tetapi lebih daripada itu akan menekankan idea baharu, kaedah dan strategi baharu untuk mengurus ekonomi dalam keluarga, supaya wanita dapat lebih bersemangat, meningkatkan motivasi diri dan menyumbang kepada pembangunan komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta tuai rumah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya bersedia mengemukakan permohonan bagi Projek Sejati Madani tahun ini yang menyediakan peruntukan RM100,000 bagi setiap rumah panjang.

Pada program sama, Larry turut menyerahkan peruntukan berjumlah RM39,960 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa JKKK dan Biro Wanita di kawasan tersebut.

Antara penerima peruntukan ialah JKKK Rumah Anyuk di Batu 2½ Jalan Entabai, JKKK Rumah Dressa di Batu 3 Jalan Entabai, JKKK Rumah Andrew Lawai di Jagoi serta JKKK Rumah Jambai di Batu 2 Jalan Entabai.

Manakala peruntukan bagi Biro Wanita disalurkan kepada Biro Wanita Rumah Anyuk, Biro Wanita Rumah Andrew Lawai dan Biro Wanita Rumah James Asang.

Larry berharap agar peruntukan yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong penganjuran latihan, pembangunan produk serta merancakkan lagi aktiviti ekonomi masyarakat luar bandar di kawasan Parlimen Julau.

Oleh Earl Anek

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Pasukan bomba berjaya tangkap ular sawa di Lorong 8A, Jalan Kilang
Next: SADA perkukuh prosedur pertapakan projek di Sri Aman

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.