Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • SARA bulanan kategori bujang bermula hari ini
  • NASIONAL

SARA bulanan kategori bujang bermula hari ini

Utusan Sarawak 6 hours ago
TINJAUAN Bernama mendapati orang ramai menggunakan pendekatan yang berbeza dalam menguruskan dan memanfaatkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perkreditan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi kategori bujang bermula hari ini disambut dengan rasa syukur oleh golongan berpendapatan rendah, sekali gus memberi kelegaan dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Walaupun jumlah bantuan disifatkan sederhana, penyaluran pada pertengahan bulan dilihat tepat pada masanya, ketika kebanyakan individu mula berdepan kekangan kewangan dan baki simpanan semakin menipis, khususnya pelajar serta pekerja bergaji tetap dan tidak tetap.

Seorang penerima, Mohd Fikri Shahriman, 27, yang bekerja secara bebas berkata bantuan itu memberi kelegaan dalam jangka pendek, terutama untuk menampung keperluan asas harian.

“Ia mungkin tidak menyelesaikan keseluruhan isu kos sara hidup tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan kewangan harian, terutama ketika sudah memasuki pertengahan bulan dan baki simpanan semakin menipis.

“Walaupun nilainya tidak besar, ia tetap memberi ruang kepada golongan bujang untuk bernafas, terutama dalam menampung perbelanjaan asas seperti makanan dan barangan keperluan harian,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, di JOHOR, penerima Nor Azilahazah Ramlee, 32, berkata bantuan itu memberi kesan langsung dalam membantu mengurangkan tekanan kewangan dan membolehkan perbelanjaan bulanan diurus lebih teratur.

“Ini membolehkan saya memberi tumpuan kepada komitmen lain meskipun bantuan diterima RM50 sebulan tetapi memberi impak besar memandangkan harga barangan asas meningkat, sekali gus membantu meringankan beban golongan bujang berpendapatan rendah,” katanya yang bekerja sendiri. 

Mohd Azlan Ahmad, 47, dari Taman Nusantara, Yan, KEDAH berkata beliau yang kematian isteri tiga tahun lepas akibat kemalangan, kini tinggal seorang diri dan hanya menjalankan kerja-kerja ringan di sekitar kawasan taman kerana mengalami masalah kesihatan.

“Dulu, semasa arwah isteri ada, kami berniaga jual nasi lemak jadi sumber pendapatan itu ada juga walaupun tidak seberapa. Sekarang, saya hanya buat kerja ringan seperti menebas rumput tetapi itu pun kadang-kadang sahaja kerana saya ada penyakit lelah, jadi memang cepat penat.

“Dengan bantuan SARA ini, sekurang-kurangnya saya boleh beli bekalan makanan… tambahan bulan depan sudah masuk Ramadan, jadi bantuan ini memang besar maknanya untuk orang macam saya. Terima kasih Perdana Menteri dan kerajaan kerana membantu golongan kurang berkemampuan macam saya,” katanya.

Dalam pada itu, di KELANTAN, seorang penjawat awam, Muhd Firdaus Nur Ahmad, 37, berkata meskipun belum berkahwin, golongan bujang turut berdepan cabaran kos hidup yang tinggi, justeru pemberian SARA memainkan peranan yang besar kepada golongan itu.

“SARA dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan untuk saya mendapatkan keperluan harian termasuk membeli ubat-ubatan. Walaupun masih belum berkahwin, ada dalam kalangan kami (bujang) yang perlu menyara ibu bapa serta adik-beradik yang masih belajar. 

“Justeru, kami juga berdepan situasi sama seperti mereka yang berkeluarga tetapi wang diberi dapat menampung bebanan kewangan golongan B40 seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menasihatkan belia penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Kategori Bujang agar mengurus bantuan yang diterima dengan bijak.

KBS menerusi kenyataan media turut mengingatkan penerima supaya mengutamakan keperluan asas, mengelakkan pembaziran serta memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran diri.

“STR Kategori Bujang adalah bantuan tunai yang bertujuan meringankan beban kewangan serta membantu penerima memenuhi keperluan asas harian. KBS percaya bantuan ini amat bermakna kepada belia yang sedang membina kerjaya, bekerja sendiri atau berpendapatan rendah,” menurut KBS

KBS turut menegaskan komitmen berterusan kementerian itu dalam menyokong kebajikan dan pembangunan belia sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sebanyak 3.1 juta individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun layak menerima STR Kategori Bujang sehingga RM100 sebulan di bawah program SARA yang disalurkan menerusi MyKad bermula hari ini.- Bernama

Continue Reading

Previous: Semua keputusan perolehah ATM, PDRM terkait isu rasuah dibekukan sementara – PM Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.