MIRI, 19 November: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor penjagaan kesihatan berpotensi memperluas akses penduduk luar bandar Sarawak kepada perkhidmatan perubatan pakar, khususnya bagi mereka yang tinggal jauh dari hospital utama.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kemajuan teknologi AI, data raya dan teknologi perubatan membuka peluang baharu dalam pengesanan awal penyakit, meningkatkan ketepatan diagnosis serta menyediakan rawatan yang lebih bersesuaian dengan keperluan individu.
Menurutnya, penggunaan teknologi penjagaan kesihatan berasaskan AI amat relevan bagi Sarawak yang mempunyai kawasan geografi luas serta banyak komuniti luar bandar.
“Bagi Sarawak yang mempunyai kawasan geografi luas serta banyak komuniti luar bandar, penjagaan kesihatan berasaskan AI mampu membantu meningkatkan akses kepada perkhidmatan perubatan pakar, khususnya bagi penduduk yang tinggal jauh dari hospital utama.
“Seiring dengan peningkatan usia penduduk, teknologi ini juga berpotensi memainkan peranan yang semakin penting dalam pencegahan penyakit serta pengurusan penyakit kronik.
“Akhirnya, kemajuan dalam bidang perubatan bukan sekadar bertujuan membantu manusia hidup lebih lama, tetapi juga memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada syarahan umum oleh Profesor Dong Jingcheng dari Universiti Fudan, China, di KCEC ONE, Kenyalang Smart City, di sini, hari ini.
Lee berharap perkongsian ilmu dan kepakaran antarabangsa dalam bidang perubatan pintar dapat membuka lebih banyak peluang untuk pembangunan sektor penjagaan kesihatan di Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling




