
KUALA LUMPUR: Kadar jangka pendek diunjurkan kekal stabil hari ini, disokong operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional dianggarkan sebanyak RM28.22 bilion manakala dana Islam RM25.54 bilion.
Hari ini, BNM akan menawarkan dua tender repo berbalik, terdiri daripada tender bernilai RM1 bilion untuk tujuh hari dan tender RM1.5 bilion bagi 32 hari.
Bank pusat juga mengumumkan ketersediaan kemudahan repo berbalik, perjanjian jual dan beli balik (SBBA) serta kemudahan komoditi murabahah bercagar dengan tempoh matang satu minggu, satu bulan dan tiga bulan.
Pada 4 petang, BNM akan melaksanakan tender semalaman konvensional sehingga RM30.7 bilion dan tender semalaman Murabahah RM25.5 bilion.- Bernama