Kabel telekomunikasi dicuri, perkhidmatan telefon dan internet sekitar 2.5 kilometer terjejas

Facebook
WhatsApp
KEADAAN pencawang telekomunikasi di Kampung Lobang Batu Mawang, Serian yang mengalami kerosakan akibat kegiatan mencuri kabel. Foto IPD Serian

SERIAN, 4 November: Penduduk di sekitar Kampung Lobang Batu Mawang, di sini berdepan gangguan perkhidmatan telefon dan internet selepas beberapa unit kabel telekomunikasi di sebuah pencawang dipercayai dicuri dalam kejadian yang dilaporkan kepada polis semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian kecurian dan kerosakan kabel telekomunikasi itu semalam, kira-kira 5.58 petang.

Menurutnya, laporan dibuat oleh seorang jurutera syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara peralatan di pencawang telekomunikasi berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati beberapa unit kabel telah dipotong dan dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.

Kejadian itu menyebabkan perkhidmatan rangkaian telefon serta internet terganggu dalam lingkungan radius kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Polis memandang serius perbuatan tersebut kerana kecurian dan kerosakan kemudahan infrastruktur telekomunikasi bukan sahaja mengakibatkan kerugian kepada pihak syarikat, malah turut menjejaskan kepentingan penduduk setempat yang bergantung kepada kemudahan komunikasi dalam urusan harian.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat, termasuk mengesan suspek serta mendapatkan maklumat berkaitan kejadian.

Sehubungan itu, polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan bagi membantu siasatan

Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Bujang Abdul Rahim Joni menerusi talian 019-5350120 atau hadir ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

Oleh Adi Safarman