KUCHING, 4 November: Seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun mengalami kerugian sebanyak RM1,443,355 selepas menjadi mangsa penipuan panggilan telefon melibatkan seorang suspek yang menyamar sebagai pendakwa raya dari Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah menerima laporan berhubung kes tersebut.
Beliau berkata, mangsa menerima panggilan WhatsApp daripada nombor tidak dikenali pada 25 Ogos lalu ketika berada di rumah.
Pemanggil mendakwa dirinya sebagai pendakwa raya dari Putrajaya dan memberitahu mangsa bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya serta akaun banknya akan dibekukan atas dakwaan pengubahan wang haram.
Mangsa kemudian diarahkan membuka akaun sebuah bank dan mendaftarkan nombor telefon suspek bagi akaun berkenaan.
“Mangsa seterusnya diarahkan memindahkan wang berjumlah RM1.41 juta ke dalam akaun yang baru dibuka atas alasan untuk tujuan siasatan.
“Suspek kemudian melakukan sebanyak 26 transaksi pemindahan wang berjumlah RM1,353,355 ke akaun bank milik suspek,” katanya.
Alexson berkata, mangsa turut diarahkan membuat pembayaran tambahan berjumlah RM90,000 ke dalam akaun bank suspek.
Mangsa akhirnya menyedari dirinya telah ditipu dan mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM1,443,355.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda.
Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan mencurigakan dan segera menamatkan panggilan berkenaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi atau perbankan kepada pemanggil tidak dikenali.
Orang ramai boleh menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon yang mencurigakan melalui portal Semak Mule PDRM di https://semakmule.rmp.gov.my.
Sebarang aktiviti mencurigakan juga boleh dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 atau menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak menerusi WhatsApp di talian 011-62890089 atau e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my.
Oleh Connie Chieng





