

MALUDAM: Seramai 210 ketua isi rumah (KIR) di sekitar Pekan Kecil Maludam menerima sumbangan bakul makanan bagi meringankan beban penduduk yang terjejas akibat situasi banjir di kawasan berkenaan, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, agihan bantuan tersebut merupakan inisiatif pantas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, proses pengagihan dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan beberapa kawasan tumpuan termasuk Rumah Tanjung Baru, kawasan perumahan berhampiran Loji Rawatan Air Maludam, Kampung Hilir Maludam serta penduduk di sekitar Taman Negara Maludam.
Dalam kenyataannya, Dayang Noorazah menzahirkan rasa syukur atas kelancaran proses agihan dan menyifatkan bantuan berkenaan sebagai sokongan moral serta material kepada warga Maludam yang sedang menghadapi kesulitan.
“Alhamdulillah, sebanyak 210 pek bantuan bakul makanan telah berjaya diserahkan. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi manfaat yang besar kepada semua penerima,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JKM Betong serta semua agensi dan sukarelawan yang terlibat dalam memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan.
“Kita mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan warga Maludam sentiasa dilindungi serta dijauhkan daripada sebarang kesulitan berpanjangan,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman