LIONG CHAI LING
MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri telah melakukan operasi disinfeksi di Hospital Miri, semalam.
Operasi tersebut dijayakan oleh dengan kekuatan anggota seramai 21 orang yang diketuai Ketua JBPM Zon Miri, Law Poh Kiong.
Operasi itu bermula pada jam 3 petang dengan sesi taklimat ringkas dan aktiviti sanitasi membabitkan semua lokasi awam dan klinik-klinik pakar dan selesai pada jam 5.00 petang.
Hospital Miri, dalam satu kenyataan media berkata, keseluruhan operasi tersebut berjalan lancar.
“Operasi ini merupakan usaha sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan tidak berlaku penularan penyakit berjangkit di sini.
“Pihak pengurusan Hospital Miri melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JBPM Zon Miri atas kerjasama erat yang diberikan dan berharap hubungan baik seumpama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” kata kenyataan itu.
Turut membantu sepanjang proses ini dilaksanakan ialah kakitangan syarikat konsesi dan anggota perkhidmatan kesihatan yang bertugas di Hospital Miri.
Hospital Miri sentiasa memastikan tahap kebersihan persekitaran hospital sentiasa dalam keadaan yang optima.
“Perkhidmatan penyampaian kesihatan masih lagi beroperasi seperti biasa.
“Oleh itu, orang ramai yang berkunjung ke Hospital Miri diminta untuk mematuhi segala arahan daripada petugas kesihatan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan yang disediakan,” katanya.