
DUNDEE (Scotland): Seorang peminat bola sepak yang mencederakan pemain pasukannya sendiri selepas membaling sebahagian kerusi ketika perlawanan Liga Perdana Scotland dijatuhi hukuman penjara 18 bulan pada Isnin, lapor PA Media/dpa.
David Gowans, 31, membaling objek tersebut ke dalam padang selepas perlawanan liga antara Aberdeen dan Dundee United di Dundee pada 17 Mei.
Objek itu mengenai pemain Aberdeen, Jack MacKenzie, yang pada waktu itu pergi ke kawasan hadapan penyokong Aberdeen yang hadir bagi mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka.
Pemain pertahanan tersebut, yang mengalami luka dalam pada kening kiri serta melecet di bawah mata kirinya, dilaporkan mengalami “kecacatan kekal” akibat insiden tersebut.
Ketika menjatuhkan hukuman di Mahkamah Sheriff Dundee pada Isnin, Sheriff Alastair Carmichael berkata kepada Gowans: “Tindakan anda mementingkan diri, bodoh, berbahaya dan amat tidak bertanggungjawab.
“Tiada alternatif munasabah selain hukuman penjara,” tambahnya.- Bernama-PA Media/dpa