


LAWAS: Polis Daerah Lawas menahan tiga lelaki tempatan berusia 24, 30 dan 35 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Trusan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata serbuan dan pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan polis di kediaman berkenaan hasil risikan yang dijalankan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut tidak menemukan sebarang dadah. Namun, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus