

BAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak telah melaksanakan rondaan Monsun Timur Laut (MTL) dan pemantauan di kawasan berisiko banjir di Daerah Bau awal pagi tadi.
Rondaan dijalankan pada 12.30 pagi tadi, melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dengan kekuatan empat anggota serta menggunakan kenderaan Hilux dan lori.
Pemantauan tertumpu di kawasan Kampung Bijuray Mongang, Krokong di mana keadaan cuaca dilaporkan hujan renyai-renyai dan paras air menunjukkan trend menurun.
Selain pemantauan banjir, pasukan bomba turut membantu dari segi logistik dengan membawa barangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongang.
JBPM Sarawak menegaskan rondaan dan pemantauan akan diteruskan secara berkala sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.