Sembilan maut, pesawat kecil terhempas berhampiran kediaman Trump

Facebook
WhatsApp
NAHAS pesawat itu meninggalkan kawah yang masih terbakar di lokasi kejadian. Foto AGENSI

WASHINGTON, 2 November: Sembilan maut selepas sebuah pesawat kecil jenis Learjet yang dinaiki mereka terhempas di kawasan perumahan di selatan Florida, Amerika Syarikat (AS), pada Ahad (waktu tempatan), hanya beberapa kilometer dari kediaman peranginan Presiden AS, Donald Trump, di Mar-a-Lago.

Beberapa rakaman video yang tular di media sosial tetapi belum dapat disahkan menunjukkan pesawat berkenaan menjunam hampir menegak pada kelajuan tinggi sebelum menghentam tanah dan mencetuskan bebola api yang besar.

Nahas itu turut meninggalkan kawah yang terbakar berhampiran jalan raya yang sibuk.

“Nahas pesawat yang berlaku hari ini di Palm Beach County, Florida merupakan satu tragedi yang amat dahsyat,” kata Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy dalam satu kenyataan.

NAHAS MAUT… Sembilan terkorban selepas sebuah pesawat kecil terhempas di kawasan perumahan di selatan Florida, Amerika Syarikat. Foto AGENSI

Beliau turut mengesahkan bahawa kesemua sembilan individu di dalam pesawat berkenaan terkorban.

Menurut Duffy, pesawat jenis Learjet 60 itu berlepas dari Austin, Texas dan dalam penerbangan menuju ke Bahamas.

Nahas berlaku berhampiran Cresthaven, sebuah kawasan kejiranan di Palm Beach County yang terletak kurang tujuh batu (11 kilometer) dari Mar-a-Lago.

Trump dilaporkan berada di Mar-a-Lago pada Ahad sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Donald J. Trump yang terletak berhampiran.

Beliau menaiki pesawat rasmi Presiden AS, Air Force One, pada 11.55 pagi, kira-kira sejam sebelum nahas Learjet itu berlaku.

Ribut turut dilaporkan melanda kawasan berkenaan, manakala Trump dilihat membawa payung ketika menaiki Air Force One.

Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) akan menjalankan siasatan berhubung nahas tersebut.— AFP

Memahami fungsi gear ketika pesawat mendarat

PENDARATAN antara fasa paling kritikal yang perlu dikendalikan oleh juruterbang. Berbeza dengan fasa perlepasan yang memberikan ruang untuk juruterbang membatalkan