KUCHING: Sejumlah 12,500 sut Perlindungan Diri (PPE) diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN Sarawak) oleh badan kebajikan Yayasan Ikhlas.
Menurut Yayasan Ikhlas, Sut PPE tersebut adalah antara 17,500 sut PPE yang ditaja keseluruhan kos oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dalam membantu usaha kerajaan mendepani wabak Covid 19.
Manakala, sut PPE adalah hasil cetusan idea dan penghasilannya oleh Yayasan Ikhlas sendiri.
Turut menerima sumbangan sut sebanyak 5,000 set adalah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Untuk Sarawak, sumbangan itu diterima oleh wakil JPBN iaitu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian, semalam di Bangunan Dun Lama, Petra Jaya di sini.
Turut Hadir, Penolong Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Sarawak, Daud Jailani, serta Penaja dari Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Ustaz Mohamad Salihin Deris, Group Head of Shariah Management.
Dalam perkembangan yang sama, Yayasan Ikhlas menyalurkan sumbangan kepada 5,000 keluarga asnaf yang memerlukan sepanjang PKP bermula 18 Mac 2020 sehingga Jun lalu di seluruh Malaysia.
Bantuan yang diberikan berbentuk makanan dan keperluan asas turut disalurkan kepada golongan terbabit.
Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Ikhlas, Dato’ Mohd Rosli bin Ramli, berkata jumlah keseluruhan kutipan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan sepanjang Covid-19 ini adalah sebanyak RM1.74 Juta.
Beliau mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan menjadikan Yayasan Ikhlas sebagai wakil untuk mereka menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Yayasan Ikhlas adalah sebuah badan kebajikan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) pada 5 Mac 2009.
Terdapat tiga kluster strategik yang mendasari segala aktiviti Yayasan Ikhlas iaitu Kluster Pendidikan, Kluster Komuniti dan Kluster Bencana.