
ENGKILILI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua bagi mengesan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan Rumah Baie Merio Tambak, Engkilili, diteruskan hari ini dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan serta bantuan penduduk setempat.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Chin Shin Fah, 60, dilaporkan hilang sejak malam Sabtu lalu ketika menghadiri upacara sembahyang bersama ahli keluarga di rumah panjang berkenaan.
PGO JBPM Sarawak memaklumkan, panggilan kecemasan diterima semalam sekitar 7.58 malam, sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 75 kilometer dari bandar Simanggang.

Memasuki hari kedua operasi hari ini, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertolak ke lokasi seawal 7.45 pagi melalui laluan mencabar dan tidak rata, sebelum tiba sekitar 9.30 pagi.
Taklimat operasi kemudiannya disampaikan oleh ASP Leonard Mallaca dari Balai Polis Sri Aman bagi menyelaras gerak kerja antara agensi terlibat.
Operasi SAR dimulakan pada 10.00 pagi dengan pencarian dibahagikan kepada tiga kumpulan, meliputi kawasan sekitar rumah panjang, kawasan Merindun serta sepanjang Jalan Nanga, dengan radius pencarian sejauh dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Seramai tujuh anggota bomba terlibat secara langsung dalam operasi tersebut dengan sokongan sebuah Van Urvan, manakala agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Engkilili, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kira-kira 30 penduduk kampung turut membantu usaha pencarian.
JBPM Sarawak turut memaklumkan bahawa sehingga laporan ini dikeluarkan, mangsa masih belum ditemui, dan operasi SAR akan diteruskan berdasarkan maklumat serta petunjuk baharu yang diperoleh di lapangan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan mangsa diminta tampil membantu dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau pasukan penyelamat terdekat bagi mempercepatkan usaha pencarian.
Oleh Adi Safarman