
SARIKEI: Pemantauan berterusan pihak bomba mendapati keadaan paras air masih terkawal meskipun hujan melanda kawasan Kampung Baru Seberang Sarikei malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, berkata rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) dijalankan sekitar 9.55 malam melibatkan dua anggota bomba.
“Rondaan pemantauan MTL telah dilaksanakan di Jalan Cempaka, Kampung Baru Seberang Sarikei bagi menilai keadaan paras air.
“Semasa rondaan dijalankan, trend air didapati sedang surut dengan paras air menurun dan berada dalam keadaan terkawal walaupun hujan turun di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pemantauan berkala tersebut penting bagi memastikan sebarang perubahan mendadak paras air dapat dikesan lebih awal.
“Sepanjang rondaan pemantauan dijalankan, tiada sebarang panggilan kecemasan diterima.
“Keadaan keseluruhan di kawasan pemantauan pada malam tadi adalah terkawal,” katanya.
Oleh Earl Anek