
LAWAS: Generasi muda Sarawak mesti perkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk terus membina masa depan Sarawak yang gemilang.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong menegaskan kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyediakan asas penting dalam memberi pendidikan percuma kepada anak Sarawak bermula tahun ini.
“Anak-anak muda kita hari ini tidak ada pilihan lain kecuali melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran agar dapat terus mewarisi dan memacu pembangunan masa depan Sarawak.
Premier Sarawak telah mengumumkan pendidikan percuma, berbagai bantuan pendidikan dan juga bantuan bayaran Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) kerana mahu melihat pembangunan Sarawak dapat diterus dengan gemilang oleh generasi pewaris kita,” katanya pada Majlis Gegar Sundar di Dataran Pekan Sundar, baru-baru ini.

Seterusnya, Henry Sum juga mahu rakyat di Parlimen Lawas untuk terus memastikan hanya kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi pilihan utama dalam pembentukan kerajaan Sarawak pada masa akan datang.
Ini penting agar segala program dan perancangan pembangunan diseluruh pelosok Sarawak dapat terus dibangun tanpa henti.
“Kita juga tidak ada pilihan lain kecuali GPS kerana masih banyak yang akan dilaksana untuk membangunkan seluruh negeri ini daripada Lawas ke Sematan. GPS telah membuktikan mereka tetap mengutamakan Sarawak dan rakyatnya sejak lima tahun lalu,” tambahnya.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan Exco Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Steve Lius.
Pelbagai persembahan telah diadakan termasuk nyanyian penghibur daripada negara Brunei dan penghibur tempatan lainnya.
Turut diadakan gerai jualan makanan serta pelbagai jualan produk tempatan dari Sundar dan Awat-awat.
Oleh Adeng Edrus