TRUSAN: Landskap luar bandar Sarawak mampu dibangunkan dalam tempoh yang pantas jika rakyat terus menyokong kerajaan yang perihatin di peringkat persekutuan.
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia, Dato Henry Sum Agong menjelaskan bahawa rakyat perlu sedar bagaimana janji manis tidak berasas telah menyaksikan Sarawak dan kawasan luar bandar lainnya diabaikan selama 22 bulan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lawas menyatakan demikian semasa Perasmian Rumah Pusat Kebudayaan Suku Kaum Tagal di Long Tengoa Trusan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Syukri semalam.
Seterusnya Henry Sum memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan jalan ke Long Ibau beserta sebuah jambatan yang akan dilaksana tidak lama lagi.
Ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat serius dalam melihat keperluan rakyat di luar bandar.
Kerjasama antara PN dan GPS yang mana bukan parti komponen telah menyaksikan banyak perubahan berjaya dibawa ke Bumi Kenyalang.
Pelantikan ramai menteri dan timbalan menteri daripada Sarawak juga membukti usaha Kerajaan Persekutuan berusaha keras merapatkan jurang pembangunan antara kedua wilayah.
“Hari ini kita dapat bertemu sendiri Menteri Pelancongan Malaysia yang juga anak jati Sarawak yang amat kuat bekerja. Hubungan erat antara menteri dan rakyat di Sarawak ternyata banyak menguntungkan rakyat akar umbi melalui perlaksanaan berbagai projek dan program pembangunan daripada kerajaan persekutuan dan Sarawak,” jelasnya.
Henry Sum juga menegaskan kerajaan GPS dan PN tidak akan berjanji kosong sebaliknya mengotakan segala janji secara satu persatu demi keperihatinan kepada rakyat.
Oleh Adeng Edrus