
KABONG: Seramai 46 orang kanak-kanak lelaki melakar detik bersejarah dalam kehidupan masing-masing apabila menyertai Program Berkhatan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong yang diadakan di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, program yang julung kali dianjurkan itu bertujuan menghidupkan semula budaya berkhatan secara beramai-ramai yang semakin jarang dilaksanakan selain membantu meringankan beban kewangan ibubapa.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat dari sudut sosial, malah merupakan satu tuntutan penting dari segi agama Islam.

“Ketika proses berkhatan, kebanyakan kanak-kanak akan berasa sangat berdebar kerana ia menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupan mereka sebagai remaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan simbolik perasmian Program Berkhatan Peringkat DUN Kabong, hari ini.
Chee Kadir menjelaskan, walaupun teknologi perubatan kini semakin canggih, perasaan gementar tetap wujud dalam kalangan kanak-kanak yang bakal menempuh detik bersejarah tersebut.

“Bagi menguatkan semangat mereka, pendekatan berkhatan secara beramai-ramai adalah antara kaedah terbaik kerana ia bukan sahaja menjimatkan masa, malah dapat meneruskan kesinambungan tradisi masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Chee Kadir menyatakan bahawa amalan berkhatan merupakan simbol kebersihan, kesihatan dan kematangan bagi kanak-kanak lelaki, selari dengan tuntutan dalam Islam.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya ahli jawatankuasa penganjur, atas komitmen dan kerjasama padu dalam menjayakan program berkenaan serta sambutan menggalakkan daripada ibubapa.

“Saya berhasrat untuk meneruskan tajaan program berkhatan ini pada 2026 dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang demi meringankan beban ibubapa serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Program berkenaan melibatkan seramai 46 peserta yang terdiri daripada murid lelaki dari lima sekolah rendah di Zon Kabong dan dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong dengan kerjasama Biro Pendidikan Islam Zon Kabong serta Pusat Khidmat DUN Kabong.
Antara sekolah yang terlibat ialah SK Abang Leman Kabong, SK To Eman Nyabor, SK Abang Moh Sessang, SK Kampung Gerigat dan SK Kampung Empelam.
Terdahulu, suasana program dimeriahkan dengan acara simbolik menyiram air ke atas kesemua peserta oleh Persatuan Bomba Sukarela Kabong (PBSK) yang disempurnakan sendiri oleh Dato Mohd Chee Kadir, sekali gus memberikan pengalaman bermakna dan menceriakan para peserta.
Turut hadir ialah Guru Besar SK Abang Leman Kabong, Majenin Jahar; Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong, Abdullah Sulaiman, wakil agensi terlibat serta ibu bapa dan jemputan lain.
Oleh Adi Safarman