GERIGAT: Seorang nelayan maut sementara dua lagi rakan terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan kabong dekan sini semalam.
Bot nelayan yang berasal dari Beladin itu dilaporkan karam akibat ribut kencang dan laut bergelora pada malam Rabu lalu.
Menurut sumber, kedua-dua mangsa yang selamat ditemui terdampar oleh penduduk dari rumah panjang Bubus Alit di tepi pantai kampung Alit dan Pantai Kampung Gerigat dalam keadaan sangat lemah.
Mangsa ketiga juga turut dijumpai oleh penduduk terdampar di kawasan Pantai Kampung Gerigat, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan keselamatan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir terus bergegas ke Kampung Gerigat sebaik sahaja menerima perkhabaran mengenai kejadian tersebut.
Beliau yang ditemani isterinya, Meryani Yasin bersama-sama penduduk kampung untuk bertemu dengan salah seorang nelayan yang terselamat dalam tragedi bot karam berkenaan.
Chee kadir dalam pada itu turut menasihatkan mangsa dan keluarga mereka bersabar dan reda terhadap ketentuan illahi berhubung peristiwa tersebut.
“Ajal dan maut di tangan tuhan. Kita sebagai manusia tidak boleh melawan takdir yang telah ditentukan dan berharap keluarga mangsa dapat menghadapi dugaan ini dengan tabah dan sabar,” ujarnya.
Sementara itu, kedua-dua mangsa yang selamat itu dibawa ke Klinik Kesihatan Nyabor dan Klinik Kesihatan Kabong untuk menerima rawatan lanjut.
Manakala mangsa yang telah meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.