KUCHING: Sentiasa merendah diri walau dalam keadaan apapun.
Itulah sikap yang ditonjolkan oleh Ratu Cantik Malaysia (Miss Universe) 2020, Francisca Luhong James, 25, ketika berdepan dengan orang ramai.
Anak gadis kelahiran Sarawak telah melakar satu lagi sejarah buat negeri ini apabila berjaya memenangi pertandingan ratu cantik nombor satu di Malaysia.
Gadis berketurunan Kayan, Kenyah dan Iban itu berjaya menewaskan 17 peserta lain untuk melayakkan dirinya mewakili Malaysia di pentas Ratu Cantik 2020 kelak.
Ujar Francisca, beliau tidak menyangka kemenangan berpihak kepadanya memandangkan peserta dari negeri lain lebih hebat dan layak memegang gelaran tersebut.
“Kehidupan saya berubah setelah dinobatkan sebagai Ratu Cantik Malaysia 2020.
“Saya akan bangun 4.00 pagi setiap hari untuk berdandan bagi berjumpa orang ramai terutama pihak media yang ingin membuat liputan tentang diri saya,” katanya ketika sesi temubual khas Majlis Sambutan Rasmi Kedatangan Ratu Cantik Malaysia 2020 di Kuching, semalam.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran isteri kepada Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datin Melinda Claudia Bucking Lawan.
Kemenangan Francisca ini melakar sejarah baru untuk Sarawak dan berita gembira buat rakyat di negeri ini setelah menanti selama 13 tahun yang mana pada kali terakhir anak Sarawak memenangi pertandingan ini adalah pada 2007 yang diwakili oleh Adelaine Chin Ai Nee.
Francisca juga bergelar anak Dayak pertama yang memenangi gelaran Ratu Cantik Malaysia 2020 dan kejayaan ini bakal dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records.
Ditanya mengenai peragaan, Francisca lebih memilih pemakaian yang tidak terlalu menonjol tetapi berkelas tersendiri.
“Saya lebih suka kepada ‘simplicity is the best but always look classy’, “ujarnya.
Beliau juga memperjuangkan hak wanita dan cuba mengangkat martabat wanita hingga ke mata dunia.
“Saya mahu memperkasakan hak-hak wanita muda untuk menjadi pemimpin di Malaysia.
“Selain itu, mahu membuktikan bahawa kuasa yang ada pada wanita amat relevan,” jelasnya.
Francisca turut merakamkan penghargaan buat ibu bapa, keluarga dan para penyokongnya yang tidak putus memberikan sokongan ketika pertama kali menyertai pertandingan ini.