
LIMBANG: Kehilangan seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu berakhir dengan penemuan mayatnya pagi tadi di Sungai Limbang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Lama.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, mengesahkan mangsa dikenali sebagai Ganda Sandin, 56, dari Kampung Lubok Pasu, Limbang, ditemui terapung oleh penduduk kampung pada 9.45 pagi.
“Mayat yang ditemui dipercayai individu yang dilaporkan hilang sebelum ini. Lokasi penemuan mayat terletak kira-kira 12 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang. Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Batu Danau yang hadir di lokasi telah mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah setinggan berhampiran Klinik Kesihatan Mendamit pada Ahad lalu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan Isnin melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung.
Penemuan mayat berkenaan menamatkan operasi SAR pada 11.20 pagi.