BALINGIAN: Pihak Jawantankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung(JKKK) dinasihati untuk menerapkan amalan norma baharu terhadap masyarakat setempat dalam kawasan pentadbiran mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata mereka harus memainkan peranan tersebut supaya ia akan menjadi budaya di kalangan komuniti, sekurang-kurangnya semasa krisis pandemik Covid-19 ini.
Bercakap semasa Merasmikan Bengkel Kepolisian Komuniti Daerah Kecil Balingian, Abdul Yakub berkata, peranan JKKK juga amat penting dalam menentukan kemajuan dan keharmonian kampung dan rumah panjang, masing-masing.
“Ketua masyarakat dan ketua kaum termasuk ahli JKKK harus juga membantu kerajaan di dalam memastikan komuniti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk keselamatan bersama,” katanya.
Justeru, Yakub menganggap program Kepolisian Komuniti sebagai tepat pada masanya, dan dalam masa yang sama menanam semangat berkerjasama dalam menangani jenayah.
“Saya difahamkan kepolisian komuniti adalah pendekatan dalam memperkasakan keupayaan masyarakat terutama di peringkat akar umbi .
“Selain itu, membina kapasiti komuniti untuk mengurangkan risiko bencana ancaman dengan mendidik komuniti agar mampu melaksanakan langkah-langkah kesiapsiagaan yang meliputi usaha pencegahan, untuk menyalamatkan diri, keluarga, jiran dan anggota masyarakat ketika bencana berlaku sebelum ketibaan pihak berkuasa,” kata Yakub .
Tambah Yakub, konsep berkenaan berteraskan kepedulian (prihatin), kebersamaan sebagai satu pasukan bukan sahaja dengan penduduk kampung tetapi juga agensi-agensi yang telah diamanahkan menjaga keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat .
“Dalam sesuatu bencana, kesegerana juga amat penting. Program ini amat bertepatan, maka saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kerana juga memasuk daerah kecil ini di dalam penganjurannya. Bagi kawasan ini, saya difahamkan 3 siri bengkel kepolisian komuniti diadakan yang melibatkan seramai 620 orang peserta dari 74 buah JKKK,” katanya.
Antara pengisian program berkenaan ialah ceramah daripada pelbagai agensi, seperti Pejabat Residen/Pejabat Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mukah, Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Mukah, Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah, dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Mukah.