
BINTULU: Seramai lapan mangsa termasuk warga emas dan kanak-kanak berjaya diselamatkan dalam operasi khidmat khas bantuan mengeluarkan mangsa banjir di kawasan rumah setinggan Seberkas, Kidurong, malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.32 malam.

“Sebaik tiba di lokasi kira-kira 15 kilometer dari balai, didapati mangsa banjir terkandas di dalam rumah akibat kenaikan paras air.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa menggunakan bot aluminium sebelum membawa mereka ke lokasi yang selamat,” katanya.
Mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, seorang warga emas lelaki, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Difahamkan, semua mangsa akan menumpang sementara di rumah saudara-mara masing-masing sementara menunggu keadaan banjir surut.
Oleh Carolyne Utih