

SARIKEI: Seramai 22 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarikei telah menyertai latihan harian Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sarikei bagi sesi Disember yang diadakan di Sungai Sarikei, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata latihan bermula dari 8.30 pagi hingga 10.30 pagi sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan anggota APM Sarikei, khususnya dalam aspek keselamatan di air.
“Latihan ini melibatkan 22 anggota APM Sarikei dan ia memberi penekanan kepada kemahiran asas keselamatan di air sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
“Silibus latihan merangkumi pengendalian bot, teknik mengayuh serta pengenalan kepada bahasa isyarat di bot yang penting bagi memastikan komunikasi dan keselamatan semasa operasi di perairan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, latihan tersebut diketuai oleh Leftenan Muda (PA) Muhd Saizun Amirrudin Othman.
“Anggota APM Sarikei diberi peluang mempelajari cara pengendalian bot aluminium, bot fiber dan bot dinghy dengan lebih berkesan dan selamat.
“Latihan ini bertujuan memantapkan kemahiran anggota APM Sarikei sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut,” katanya.
Oleh Earl Anek