
KUCHING: Julia Dunstan Rectakar memilih pokok Krismas bertemakan kupu-kupu sebagai hiasan utama di rumahnya tahun ini. Menurut Julia, tema berwarna-warni itu melambangkan keceriaan perayaan.
“Setiap tahun, tema pokok Krismas berbeza. Saya hias seluruh rumah, tetapi pokok Krismas tetap jadi tumpuan. Inspirasi datang daripada media sosial, terutama TikTok,” katanya.

Tiada tradisi khusus digunakan dalam menghias, sebaliknya Julia menekankan kreativiti sendiri. Bahagian rumah yang paling digemari ialah ruang tamu dan beranda, di mana lampu berwarna-warni menaikkan seri hiasan.
Julia turut berkongsi pengalaman lucu ketika mencari kayu untuk dekorasi luar rumah sehingga terpaksa menebang pokok limau milik ibunya. Beliau menasihatkan supaya bijak menggunakan barang lama dalam menghias bagi mengurangkan kos.

Menurut Julia, suasana Krismas lebih bermakna apabila dapat melihat anak-anak buah gembira dengan hiasan yang dibuat.
“Rasa berbaloi apabila mereka teruja dengan lampu dan dekorasi, walaupun hiasan sederhana,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan kreativiti dalam menghias rumah. Barang-barang lama boleh diolah semula dengan cara berbeza untuk kelihatan baru tanpa perlu membeli yang mahal.


JULIA Dunstan Rectakar memilih pokok Krismas bertemakan kupu-kupu sebagai hiasan utama pada sambutan Krismas tahun ini. Foto Norman B
Julia menjelaskan bahawa lampu berwarna-warni adalah elemen paling penting dalam menghias Krismas kerana mampu menaikkan seri rumah dan memberi suasana meriah walaupun dekorasi ringkas.
Beliau berharap sambutan Krismas tahun ini membawa rezeki yang baik, kesihatan yang terjaga dan kegembiraan berganda kepada semua, terutamanya keluarga dan jiran-jiran yang turut menikmati suasana perayaan.
Selain itu, Julia menegaskan bahawa menghias Krismas bukan sekadar cantik-cantikan rumah tetapi juga peluang untuk mengeratkan hubungan dengan keluarga.
“Saya rasa gembira bila dapat berkongsi kegembiraan dengan orang sekeliling melalui hiasan Krismas ini,” katanya.
Beliau turut berkongsi idea mudah untuk mereka yang ingin menghias rumah sendiri. Hanya dengan sedikit kreativiti dan penggunaan barang terpakai, rumah boleh kelihatan meriah tanpa perlu berbelanja besar.
Oleh Norman B