Tiga lelaki ditahan atas kesalahan berkaitan dadah di Kota Samarahan

Facebook
WhatsApp
PENCEGAHAN JENAYAH... IPD Kota Samarahan mempergiat operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

KOTA SAMARAHAN, 13 November: Tiga lelaki tempatan ditahan atas kesalahan berkaitan dadah dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, polis turut merampas tiga gram bahan berbentuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, operasi yang berlangsung dari 6.00 petang hingga 10.00 malam itu merangkumi sekatan jalan raya, rondaan pencegahan jenayah di kawasan berisiko tinggi serta serbuan dan tangkapan.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 48 kenderaan dan 51 individu diperiksa, manakala empat saman trafik dikeluarkan,” katanya.

Mohd Irwan berkata, operasi bersepadu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan polis untuk membanteras kegiatan jenayah serta meningkatkan tahap keselamatan masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiat operasi pencegahan jenayah dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam di daerah Kota Samarahan sentiasa terpelihara.

Oleh Connie Chieng