SRI AMAN, 13 November: Jentera kempen Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Bukit Begunan diingatkan supaya menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab serta mematuhi semua peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengerusi PRS Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata setiap anggota jentera perlu memahami tugas masing-masing bagi memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar, tersusun dan berkesan.
“Persiapan rapi perlu bermula dengan memastikan setiap petugas mengetahui jadual gerak kerja serta sentiasa berhubung dengan penyelaras pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat khas kepada Jentera Pilihan Raya DUN Bukit Begunan di sini semalam.
Mong yang juga Naib Presiden PRS turut menekankan kepentingan disiplin serta penjagaan kesihatan dan keselamatan diri, terutama ketika berdepan jadual kempen yang padat.
Beliau berkata, anggota jentera perlu mendapatkan rehat secukupnya dan segera memaklumkan kepada penyelaras sekiranya mengalami masalah kesihatan atau sukar meneruskan tugasan.
Mong turut menggesa semua anggota mengutamakan semangat kerjasama dan saling menjaga kebajikan rakan sepasukan agar setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan baik.
Beliau yakin komitmen setiap anggota dalam menjalankan amanah serta kesediaan saling membantu akan memastikan kempen di Bukit Begunan berlangsung secara teratur dari hari pertama hingga tamat tempoh berkempen.
Oleh Adi Safarman





