MBKS salur RM5,000 kepada lima keluarga mangsa kebakaran

Facebook
WhatsApp
DATO Wee Hong Seng (tengah) bersama keluarga yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Tabuan Hilir ketika majlis penyampaian bantuan menerusi Program Prihatin MBKS, hari ini. Foto MBKS

KUCHING, 13 November: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menyalurkan bantuan berjumlah RM5,000 kepada lima keluarga yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Tabuan Hilir, Jalan Setia Raja, semalam.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, setiap keluarga menerima bantuan sebanyak RM1,000 menerusi Program Prihatin MBKS bagi membantu meringankan beban mereka susulan kejadian itu.

Menurutnya, kebakaran berkenaan melibatkan lima rumah dan menjejaskan 30 penduduk, termasuk tiga kanak-kanak.

Wee berkata, beliau bersama beberapa ahli majlis MBKS telah melawat lokasi kejadian semalam bagi meninjau keadaan serta mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mangsa.

“Apabila kita melihat sendiri keadaan rumah yang tinggal selepas kebakaran, kita dapat memahami betapa banyak perkara yang perlu dihadapi sesebuah keluarga dalam masa sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada keluarga terjejas di sini, hari ini.

ANTARA keluarga yang menerima bantuan kewangan daripada MBKS susulan kebakaran yang melibatkan lima rumah dan 30 penduduk di Kampung Tabuan Hilir. Foto MBKS

Menurutnya, keluarga yang terjejas bukan sahaja perlu mencari tempat tinggal sementara, malah berdepan keperluan mendapatkan pakaian, barangan harian serta menguruskan rutin kehidupan anak-anak selepas kehilangan kediaman.

Jelasnya, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu menampung sebahagian perbelanjaan segera keluarga terlibat ketika mereka mula mengatur kehidupan selepas kejadian itu.

Beliau turut menggesa keluarga terjejas supaya terus berhubung dengan ahli majlis dan pegawai MBKS sekiranya memerlukan bantuan tambahan dalam tempoh pemulihan.

“Kami akan melihat apa yang boleh dilakukan oleh pihak majlis dan membantu menghubungkan keluarga terlibat dengan agensi berkaitan sekiranya bantuan lanjut diperlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wee merakamkan penghargaan kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya serta Padungan atas tindakan pantas mengawal kebakaran, selain pihak polis, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat yang tampil membantu mangsa.

Beliau berkata, sokongan masyarakat setempat amat bermakna kepada keluarga terjejas, terutama dalam tempoh awal selepas kejadian apabila mereka perlu menguruskan pelbagai keperluan mendesak.

Wee turut meminta ahli majlis MBKS supaya terus berhubung dengan keluarga terlibat bagi memastikan perkembangan dan keperluan mereka mendapat perhatian sewajarnya sepanjang tempoh pemulihan.