
KUCHING: Seramai 55 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching di sini, semalam.
Operasi tersebut dijalankan di sekitar Siniawan Central, Pekan Bau serta pusat perniagaan di Batu 3, Kuching.
Selain itu, pemeriksaan juga dijalankan di beberapa kediaman yang dijadikan bilik sewa oleh PATI di Taman Matang Bersinar dan Taman Satria Jaya, serta rumah kongsi pekerja berhampiran Bulatan Simpang Tiga.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuching untuk siasatan lanjut.
Pihak imigresen menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta mengekang kehadiran PATI di negeri ini.
Tindakan ini selaras dengan usaha berterusan pihak berkuasa untuk memantau dan mengawal kemasukan serta penginapan pendatang tanpa izin, selain memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat tempatan terpelihara.